Olimpik Paris: Dua terjunan awal penting buat Dhabitah

PENGARAH teknikal kem terjun negara, Bryan Nickson Lomas mengakui bahawa aksi final acara 3 meter (m) papan anjal Sukan Olimpik Paris amat sengit dengan kehadiran penerjun-penerjun terbaik dunia yang layak ke pusingan itu.

Pada pusingan akhir yang berlangsung di Pusat Akuatik Paris malam ini bakal menyaksikan penerjun negara akan disaingi 11 penerjun lain termasuk dua wakil China, Chen Yiwen dan Chang Yani yang sering mempersembahkan terjunan memukau.

“Final malam ini akan menjadi satu persaingan yang amat mencabar. Kami berharap Dhabitah dapat mempamerkan terjunan terbaik, terutamanya dalam terjunan pertama dan kedua untuk mengutip mata sebanyak mungkin,” kata Bryan.

Bryan yang dihubungi Kosmo! turut menyatakan bahawa pencapaian Dhabitah untuk melepasi 300 mata akan menjadi satu pencapaian yang besar, namun beliau turut mengakui bahawa ia adalah satu sasaran yang sukar, berdasarkan simulasi dan latihan yang dijalankan sebelum ini.

“Jika Dhabitah berjaya mengumpul lebih dari 300 mata, itu sudah pasti satu pencapaian luar biasa. Tetapi, jika dia mampu berada dalam kelompok lapan terbaik dunia, itu pun sudah cukup membanggakan. Segala yang lebih daripada itu adalah satu bonus buatnya,” tambah Bryan.

Meskipun harapan besar diletakkan pada bahu Dhabitah, Bryan menekankan bahawa barisan kejurulatihan dan kem terjun negara tidak mahu memberi tekanan yang berlebihan kepada penerjun muda itu. 

“Fokus utama adalah untuk memastikan Dhabitah mampu mengekalkan konsentrasi dan memberikan aksi yang terbaik tanpa terbeban dengan jangkaan,” jelas bekas Olympian itu. – KOSMO! ONLINE