KUALA LUMPUR: Skuad bawah 19 (B-19) tahun negara melangkah ke separuh akhir Kejuaraan B-19 ASEAN 2024 selaku juara Kumpulan C apabila bangkit dari ketinggalan untuk mengikat Thailand 1-1, sebentar tadi.
Harimau Malaya B-19 yang juga juara bertahan terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan seawal minit keempat Thailand yang diledak Caelan Tanadon.
Anak buah Juan Torres Garrido bagaimanapun mempamerkan corak permainan lebih kemas pada babak kedua dan berjaya mengikat kedudukan hasil jaringan G Pavithran pada minit ke-47.
Skuad negara turut memperoleh beberapa peluang selepas itu, tetapi gagal disudahkan dengan jaringan hingga tamat permainan.
Satu mata berharga yang diraih di Stadium Gelora Bung Tomo, Surabaya itu menyaksikan Harimau Malaya B-19 berkongsi tujuh mata bersama Thailand yang bergelar naib juara Kumpulan C, namun skuad negara memiliki kelebihan jaringan.
Selaku juara kumpulan, Malaysia akan berdepan tuan rumah, Indonesia di separuh akhir, Sabtu ini manakala Thailand yang tetap mara selaku pasukan naib juara terbaik daripada tiga kumpulan akan mengharungi tugas getir menentang Australia.-Berita Harian