KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengucapkan selamat maju jaya kepada kontinjen negara yang bersaing di temasya Sukan Olimpik 2024 yang akan dibuka secara rasmi esok dan berlangsung hingga 11 Ogos ini.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air itu percaya seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menyokong para atlet yang berjuang mewakili negara.
“Anda semua menunjukkan dedikasi yang tiada tandingan dan semangat juang yang kental dalam menuju ke Olimpik Paris 2024. Saya yakin dan percaya anda semua telah melakukan persiapan terbaik demi mencapai kejayaan gemilang sekali gus mengharumkan nama negara di persada dunia.
“Ingat, anda tidak bersendirian, kami semua bersama anda. Anda adalah inspirasi dan kebanggaan kepada Malaysia,” kata beliau menerusi video berdurasi satu minit 12 saat di laman Facebook hari ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, turut mengucapkan selamat maju jaya kepada para atlet serta berharap mereka akan membawa pulang kegemilangan buat negara tercinta.
“Misi Malaysia untuk mengakhiri penantian selama hampir tujuh dekad bagi mendapatkan pingat emas Olimpik pertama akan bermula dengan pertandingan memanah yang dijadualkan pada petang ini.
“Yakinlah pada kemampuan diri sendiri dan ingatlah bahawa seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh di belakang anda, memberikan sokongan dan doa yang tidak berbelah bahagi.
“Berjuanglah dengan penuh semangat dan dedikasi. Ayuh Malaysia, kita mampu melakar sejarah. Kita semua Team MAS,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil turut mendoakan kejayaan para atlet ke Sukan Olimpik 2024 di Paris dan menyeru orang ramai agar mengikuti liputan langsung RTM (Radio Televisyen Malaysia) selaku penyiar rasmi di saluran TV Okey, saluran Sukan RTM dan enam saluran tambahan di RTMKLIK secara percuma.
“Do your very best, Malaysia is with you. Kami semua mendoakan kejayaan anda. Kita semua Team MAS,” katanya menerusi video berdurasi 23 saat di laman Facebook.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua atlet kebanggaan Malaysia di temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang bakal membuka tirainya esok. – BERNAMA