Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Proses klasifikasi pemudahcara atlet Para SUKMA Sarawak 2024

KUCHING, 15 Julai: Badan pengurusan atlet Para Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 di seluruh negeri digesa untuk melengkapkan proses klasifikasi atlet Para SUKMA bagi memudahkan atlet mereka bertanding pada Para SUKMA yang bakal berlangsung pada bulan September 2024 kelak.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, proses klasifikasi yang lengkap tersebut penting bagi mengelak atlet yang bakal bertanding berdepan dengan kesulitan dan halangan semasa hari kejohanan terbabit.

“Jika semasa proses klasifikasi, atlet yang berada di dalam senarai panjang atau awal itu dikategorikan memiliki daya penglihatan rendah, tetapi setelah proses klasifikasi, mereka ini didapati mempunyai daya penglihatan yang lebih baik daripada kategori asal mereka (daya penglihatan rendah), atlet ini tidak layak untuk menyertai sukan di bawah kategori tersebut.

“Justeru, negeri terbabit masih boleh serta berpeluang untuk melaksanakan proses pertukaran atlet kerana proses pentadbiran itu masih lagi di bawah seliaan negeri masing-masing,” katanya pada sidang media Mesyuarat Penyelarasan Majlis-Majlis Utama Para Sukan Malaysia (SUKMA) Edisi Ke-21 Sarawak 2024 di Kuching pada Isnin.

Tambah Fatimah, badan pengurusan negeri atlet Para SUKMA ini perlu menghantar senarai panjang atlet negeri masing-masing kepada badan induk tuan rumah selewat-lewatnya pada 31 Julai 2024.

Jelasnya, jumlah atlet yang akan bertanding bagi setiap acara sukan yang dianjurkan pada Para SUKMA Sarawak 2024 ini kelak, hanya akan ditentukan setelah senarai pendek diperoleh dan disahkan selepas proses klasifikasi atlet dimuktamadkan. -TVS