MALANG: Selepas kempunan meraih sebarang pingat emas dalam dua hari pertama Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2024, penantian skuad taekwondo berakhir apabila mereka merangkul pingat emas dalam acara poomsae berpasukan wanita, hari ini.
Trio negara dibarisi Nur Humaira Abdul Karim, Wong Zin dan Seah Jing Ying mengutip mata tertinggi 7.735 mata untuk pingat emas mengatasi pencabar terdekat dari Vietnam (7.720 mata) pada acara di Gedung Samantha Krida Universitas Brawijaya (UB), sebentar tadi.
Humaira berkata mereka bersaing sengit dengan Vietnam yang terkenal dengan fleksibiliti mereka, namun trio negara berjaya memperagakan persembahan lebih kemas dan kurang melakukan kesilapan untuk memastikan pingat emas berada dalam genggaman mereka.
Humaira turut mengakui sesi latihan berterusan dilakukan yang terpaksa dilakukan bersendirian sememangnya membantu mereka dan usaha keras sebelum ini nyata berbaloi dengan kilauan pingat emas di Malang.
“Kita sudah terlepas pingat emas dalam acara sebelum ini jadi kita fokus pada acara poomsae berpasukan wanita. Persembahan antara semua pasukan lebih kurang sama tetapi pasukan yang kurang melakukan kesilapan, merekalah yang akan menang.
“Kita pun tidak pernah berhenti menjalani latihan walaupun jurulatih kami pulang ke Korea Selatan kerana ibunya meninggal dunia. Kami tetap menjalani latihan secara bersendirian selama kira-kira tiga minggu.
“Dengan pingat emas ini, saya rasa segala pengorbanan kami selama ini boleh dianggap terbayar,” kata Humaira.
Dalam perkembangan sama, Humaira turut memberikan penghargaan kepada jurulatihnya, Jin Jun Beom yang sanggup menyertai skuad taekwondo ke AUG untuk terus memberi bimbingan kepada mereka bagi menghadapi edisi kali ini.
“Jurulatih balik ke sini semata-mata untuk lihat kami bertanding walaupun beliau tidak boleh balik lagi dan kena tunggu sehingga 49 hari.
“Jadi kami ingin mengucapkan terima kasih kerana beliau datang dan kehadirannya memang menaikkan semangat kami di AUG 2024,” katanya.-Berita Harian