KUALA LUMPUR: Selepas lima kali sekadar menjadi calon, jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah akhirnya dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2023, dalam satu majlis di sini, sebentar tadi.
Syarul Azman, 51, yang mesra disapa Mike mengetepikan empat lagi calon akhir iaitu atlet ekuestrian, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil, Ng Eain Yow (skuasy), Muhammad Arif Afifuddin Ab Malek (karate) dan Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling).
Pemilihan Syarul Azman kali ini dibuat berdasarkan pencapaian cemerlangnya yang muncul juara dunia buat kali keenam di Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik 2023 di Wonju, Korea Selatan pada November tahun lalu.
Mike yang mengumumkan persaraannya pada Mac lalu menjadi atlet bina badan ketiga dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan selepas Datuk Malek Noor dan Sazali Samad.
Malek Noor pernah sekali dinobatkan sebagai Olahragawan iaitu pada 1986 manakala Sazali yang juga juara dunia 10 kali pernah memenanginya sebanyak empat kali bermula 2000, 2006, 2013 dan 2014.
Mike menyifatkan pencapaian kali ini melengkapkan kariernya sebagai seorang atlet selepas menanti sekian lama untuk bergelar Olahragawan Kebangsaan.
“Saya memang tidak pernah terfikir untuk memenangi anugerah ini ketika muda. Saya rasakan ia pencapaian yang sukar untuk dicapai.
“Apabila kali pertama disenaraikan sebagai calon akhir pada 2016, saya sudah anggap ia satu pengiktirafan yang besar.
“Cuma selepas dicalonkan beberapa kali selepas itu, baru saya terfikir mengapa tidak saya memenanginya. Saya bekerja keras untuk mendominasi sukan ini dan apabila berjaya merangkul anugerah ini, sukar untuk saya gambarkan dengan kata-kata.
“Saya boleh cakap, kerjaya saya sebagai atlet sudah lengkap. Kejayaan ini membuktikan atlet daripada sukan yang kurang popular seperti bina badan mampu menjadi juara dunia dan memenangi Olahragawan Kebangsaan,” katanya.
Sementara itu, atlet tenpin boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2023 sekali gus menewaskan empat lagi pencabarnya termasuk ratu skuasy, S Sivasangari.
Turut berada dalam senarai pencalonan akhir adalah atlet muay thai, Nur Amisha Azrilrizal, Nur Syazrin Mohamad Latif (pelayaran) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang).
Natasha menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia selepas memenangi pingat emas acara individu pada Kejohanan Dunia di Salmiya, Kuwait pada 9 Oktober tahun lalu.
Dia mengetepikan cabaran rakan senegara, Sin Li Jane menerusi keputusan 2-1 dalam format tiga permainan terbaik pada aksi yang berlangsung di Kuwait Bowling Sporting Club.
Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara itu adalah menerusi Jacqueline Sijore pada 2011 di Hong Kong.
Sebagai rekod, kali terakhir atlet boling wanita merangkul Olahragawati Kebangsaan adalah menerusi Datuk Syalin Zulkifli pada 2002.
Bagi gelaran Olahragawan Paralimpik, ia dimenangi jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin manakala Olahragawati Paralimpik disandang Nur Suraiya Muhammad Zamri dan Farina Shawati Mohd Adnan (jurumudi) daripada sukan berbasikal trek para.
Majlis anugerah turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
PEMENANG ANUGERAH SUKAN NEGARA 2023
Olahragawan Kebangsaan: Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan)
Olahragawati Kebangsaan: Natasha Mohamed Roslan (tenpin boling)
Olahragawan Paralimpik Kebangsaan: Bonnie Bunyai Gustin (para powerlifting)
Olahragawati Paralimpik Kebangsaan: Nur Suraiya Muhamad Zamri, Farina Shawati Mohd Adnan (jurumudi) (para berbasikal)
Pasukan Lelaki Kebangsaan: Muhamad Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Ahmad Muaz Mohd Fisol (tenpin boling-beregu lelaki)
Pasukan Wanita Kebangsaan: Aleena Ahmad Nawawi, Nur Ain Nabilah Tarmizi (lawn bowls – beregu wanita)
Jurulatih Lelaki Kebangsaan: Zuraidi Puteh (lawn bowls)
Jurulatih Wanita Kebangsaan: Chai De-Choo @ Wendy Chai (tenpin boling)
Tokoh Sukan: Datuk Dr PS Nathan
Kepimpinan Sukan: Tan Sri Mohd Khalid Mohd Yunus
Anugerah Khas: Qabil Irfan Azlan (permotoran – Mini GP)-Berita Harian