Kuala Lumpur: Dua beregu lelaki muda negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian dan Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King menepati ramalan apabila mengesahkan tiket ke pusingan kedua Terbuka Australia.
Haikal-Hon Jian yang tampil sebagai pilihan ketiga tidak berdepan masalah untuk menundukkan wakil tuan rumah, Jordan Yang-Frederick Zhao 21-9, 21-11 dalam tempoh 25 minit pada aksi pusingan pertama di Sydney Olympic Park, hari ini.
Pasangan ranking ke-26 dunia itu akan menentang pemenang perlawanan antara gandingan Australia, Aneesh Nirmal-Emmanuel Stephen Sam dengan beregu India, Rajain Abhimanyu-Aman Nandal bagi perebutan tiket ke suku akhir, Khamis ini.
Sementara itu, Arif-Roy King hanya memerlukan 20 minit untuk melangkah ke kelompok 16 terbaik menerusi kemenangan ke atas pasangan Australia, Chin Hin Lam-Fu Zi Qiang 21-8, 21-7 pada aksi pusingan pertama.
Pilihan keempat kejohanan itu seterusnya akan menentang gandingan dari Australia dan England, Ooi Yi Hern-Steven Stallwood pada pusingan kedua.
Kedua-dua pasangan ini dijangka tidak berdepan masalah untuk melangkah ke separuh akhir, namun dijangka berdepan lawan sukar di peringkat empat terbaik itu.
Jika tiada masalah, Hon Jian-Haikal bakal bertemu pilihan utama dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu di separuh akhir, manakala Arif-Roy King pula bakal berdepan beregu berpengalaman Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.
Hon Jian-Haikal yang mara ke suku akhir Terbuka Thailand memburu penamat yang baik selepas kecundang di pusingan kedua Masters Malaysia dan pusingan pertama Terbuka Indonesia.
Manakala Arif-Roy King pula tentunya mahu meneruskan rentak cemerlang selepas muncul naib juara Masters Sepanyol, suku akhir Terbuka Thailand dan separuh akhir Masters Malaysia.-Harian Metro