KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersimpati dengan nasib malang menimpa pemain beregu campuran profesional negara, Lai Pei Jing yang menjadi mangsa sindiket penipuan sehingga mengakibatkan dia hilang hampir semua wang simpanannya.
Hannah, berkata pihaknya ketika ini sedang berhubung dengan pemain berusia 31 tahun itu bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian berkenaan bagi menyalurkan bantuan.
“Saya bersimpati dengan nasib malang yang menimpa Pei Jing, saya sedang berhubung dengan dia bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut. Saya nak tahu lebih lagi untuk melihat bagaimana saya boleh bantu,” kata Hannah.
Terdahulu, Pei Jing mendedahkan dirinya menjadi mangsa sindiket penipuan yang mengakibatkan dia hilang hampir semua wang simpanannya.
Perkara itu dikongsikan Pei Jing menerusi hantarannya di laman Instagram miliknya, malam tadi.
Susulan kejadian malang itu, pemain berusia 31 tahun berkenaan meminta semua pihak memberikan dia ruang untuk bertenang dan menangani emosinya.
Katanya, adalah tamparan yang sangat berat kerana ia adalah simpanan hasil kerja keras dirinya sejak bertahun-tahun.
Dia juga sudah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.
Pei Jing yang membentuk gandingan bersama Tan Kian Meng tersingkir di pusingan kedua Terbuka Singapura minggu lalu selepas tunduk di tangan gandingan Belanda, Robin Tabeling-Selena Piek.
Penyertaan pasangan ranking ke-23 dunia itu pada saingan Terbuka Indonesia yang bermula esok masih belum dapat dipastikan dengan mereka dijadual menentang pasangan Algeria, Koceila Mammeri-Tanina Violette Mammeri di pusingan pertama.-Berita Harian