IMPIAN beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk mengulangi pencapaian pada Kejohanan Badminton Malaysia Master 2024 untuk ‘pergi jauh’ sehingga ke separuh akhir tidak kesampaian.
Pasangan di ranking ke-13 dunia itu terpaksa mengucapkan selamat tinggal Terbuka Singapura lebih awal selepas tewas pada pusingan pertama sebentar tadi.
Mereka yang dalam rangka persediaan ke Sukan Olimpik Paris 2024 berbaki 59 hari lagi tidak mampu menghalang kemaraan pasangan nombor tiga dunia, Liu Sheng Shu-Tan Ning yang menang mudah 21-10, 21-10.
Pearly (kiri) dan Thinaah tewas kepada gandingan China dalam saingan pusingan pertama Terbuka Singapura pada Selasa. Foto Bernama
Pasangan dari China itu hanya memerlukan 35 minit dalam aksi di Stadium Tertutup Singapura untuk menumpaskan Pearly-Thinaah pada pertemuan kelima dengan rekod kemenangan kini memihak Sheng Shu-Tan Ning 3-2.
Bagaimanapun skrip berbeza buat beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang menghadirkan khabar gembira buat peminat badminton tempatan.
Mereka berjaya melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan rakan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin 21-15, 21-17 dalam masa 30 minit permainan.
Menanti mereka pada pusingan 16 terbaik ialah pasangan dari Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje.-Sinar