KUALA LUMPUR: Beregu lelaki muda negara, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King berpeluang untuk menyerlahkan potensi sebenar mereka apabila membuat perhitungan dengan pasangan nombor tiga dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada aksi suku akhir Terbuka Thailand, esok.
Terdahulu, Wan Arif-Roy King yang menghuni ranking ke-64 dunia mara ke kelompok lapan terbaik menerusi kemenangan ke atas pasangan Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard 21-14, 21-13 pada aksi pusingan kedua di Stadium Nimibutr di Bangkok.
Rankireddy-Shetty yang juga juara Sukan Asia Hangzhou 2022 pula mara selepas menundukkan gandingan China, Xie Hao Nan-Zeng Wei Han 21-16, 21-11.
Sebagai rekod, ia akan menjadi pertemuan pertama antara Wan Arif-Roy King dengan Rankireddy-Shirag.
Ia menjadi peluang buat pasangan negara itu untuk menguji keupayaan sebenar mereka menentang beregu utama dunia seperti Rankireddy-Shirag yang diletakkan antara pencabar utama pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024.
Sementara itu, satu lagi beregu lelaki muda negara, Muhammad Haikal Nazri-Choong Hon Jian turut mengesahkan tiket ke suku akhir selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Pharanyu Kaosamaang-Worrapol Thongsa-21-17, 21-10.
Pasangan ranking ke-28 dunia itu akan berdepan beregu Taiwan, Lu Ming Che-Tang Kai Wei bagi perebutan tiket ke separuh akhir.-Berita Harian