KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei masih belum menemui jawapan untuk kembali mengatasi pasangan nombor empat dunia dari China, Feng Yan Zhan-Huang Dong Ping.
Tang Jie-Ee Wei yang menduduki ranking kesembilan dunia sekali lagi terpaksa akur dengan kehebatan lawan berkenaan apabila tewas 18-21, 14-21 pada aksi pusingan kedua Terbuka Perancis yang berlangsung di Arena Porte de la Chapelle di Paris.
Sebagai rekod, ini adalah kali kedua berturut-turut Tang Jie-Ee Wei tunduk di tangan Yan Zhan-Dong Ping selepas turut mengalami nasib sama ketika aksi peringkat kumpulan saingan Jelajah Dunia Akhir BWF di Hangzhou, China, Disember lalu.
Mereka sebelum itu berjaya mengatasi Yan Zhan-Dong Ping ketika pertemuan pertama antara kedua-dua pasangan di Terbuka Thailand yang berlangsung di Bangkok pada Mei tahun lalu.
Tang Jie-Ee Wei selepas ini akan mengalihkan fokus kepada saingan Seluruh England yang akan berlangsung di Birmingham dari 12 hingga 17 Mac ini.
Mereka berdepan ujian getir bagi melepasi pusingan pertama di Birmingham apabila dijadual bertemu bekas juara dunia dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di pusingan pertama.-Berita Harian