Kuala Lumpur: Atlet di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) antara yang paling banyak menerima peruntukan dalam Program Road To Gold (RTG) sepanjang 2023 dengan jumlah lebih RM1.82 juta daripada jumlah keseluruhan RM 3.53 juta.
Menurut Penyelaras Program RTG, Datuk Stuart Ramalingam berkata, segala perbelanjaan itu digunakan untuk lima jenis sukan bagi membantu atlet di dalam program khusus di Olimpik Paris 2024 untuk menamatkan ‘kemarau’ emas pertama buat Malaysia.
Jelasnya, selain atlet di bawah BAM, atlet lain yang terbabit adalah atlet profesional badminton negara, hoki, angkat berat, terjun dan berbasikal.
“Antara pecahan perbelanjaan itu adalah atlet terjun, mereka menerima peruntukan sebanyak RM458,177.45, berbasikal RM 465,239.66 dan angkat berat RM20, 025.44.
“Sementara pemain hoki Malaysia terima RM342, 903.62 dan atlet profesional badminton negara pula terima RM1,068,085. 24,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Program RTG yang turut dihadiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini.
Terdahulu Arena Metro melaporkan nasib dua penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri akhirnya terjawab apabila mereka digugurkan daripada Program RTG.
Ini susulan prestasi mereka kurang memberangsangkan di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha sekali gus gagal menempah slot ke Olimpik Paris 2024.
Sementara itu, Bertrand Rhodict Lises yang menjadi wakil satu-satunya dari sukan terjun turut diletakkan dalam Program RTG.
Senarai terkini atlet Program RTG menyaksikan seramai 13 atlet berada dalam program berkenaan.
Bagi sukan badminton ialah Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin Teo Ee Yi, Pearly Tan, M Thinaah, Ng Tze Yong, Chen Tang Jie dan Toh Eei Wei.
Untuk wakil dari sukan berbasikal, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Mohammad Aniq Kasdan (angkat berat) dan Rhodict (terjun). -Harian Metro