Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nurul Izzah terus ‘mengganas’ di India, raih emas kedua

KUALA LUMPUR: Tuah di bumi India terus memihak kepada pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri apabila terus mempamerkan kayuhan ’emas’ untuk memenangi acara 500 meter (m) ujian masa di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India hari ini.

Acara yang berlangsung di Velodrom Indira Gandhi itu menyaksikan Nurul Izzah melakukan catatan 34.388 saat (s) untuk memenangi emas kedua dirinya sekali gus merampas kembali emas yang terlepas pada ACC sebelum ini.

Pingat perak dimenangi pelumba dari Korea Selatan, Hwang Hyeon-seo dengan catatan masa 34.802s sementara Luo Shuyan dari China pula memastikan gangsa menjadi miliknya dengan mencatat 34.958s.

Dengan kemenangan emas hari ini, Nurul Izzah berjaya menambah pungutan pingat peribadi selepas meraih emas dalam acara keirin wanita semalam, gangsa dalam acara pecut Jumaat lalu dan meraih perak dalam acara pecut berpasukan wanita pada 21 Februari lalu.

Untuk rekod, Nurul Izzah mula mencuri tumpuan selepas dia mencipta kejutan memenangi emas dalam acara 500m ujian masa di ACC 2022 yang turut berlangsung di New Delhi pada usianya 19 tahun.

Bagaimanapun, dia gagal mempertahankan kejuaraan pada edisi tahun lalu di Nilai apabila terpaksa berpuas hati dengan perak.

Terdahulu Pengarah Teknikal skuad berbasikal negara, John Beasley melihat Malaysia mempunyai peluang cukup cerah untuk mencipta kejuaraan dalam acara keirin wanita pada masa akan datang terutama di pentas Olimpik Los Angeles (LA 28).

Ini susulan kejayaan pelumba trek wanita negara, Nurul Izzah muncul juara keirin wanita di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di New Delhi, India semalam dan Anis Amira Rosidi pula meraih gangsa dalam aksi final itu.-Berita Harian