Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sarawak sediakan kontinjen mantap hadapi SUKMA 2024 – Gerald Rentap

SIBU, 15 Jan: Sarawak optimis menyediakan barisan kontinjen yang mantap bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke -21 pada Ogos depan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu berkata,komitmen itu mampu dicapai dengan adanya pengajuran Sukan Sarawak (SUKSAR) 2023 yang sedang berlangsung di sini sebagai pendedahan kepada atlet-atlet baharu.

“Saya melihat ini merupakan satu peluang kepada Sarawak kerana penganjuran SUKSAR edisi ketiga ini telah mencipta satu peluang dan memberi pendedahan awal kepada semua pihak terlibat dalam aspek pengurusan dan penganjuran SUKMA XXI 2024 kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian SUKSAR 2023 di Stadium Tertutup Sibu di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan barisan atlet Sarawak mengenai harapan besar Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk melihat Sarawak muncul juara keseluruhan SUKMA di tempat sendiri.

“Saya juga ingin menyampaikan hasrat Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman agar penganjuran temasya SUKSAR kali ini  ini dapat menyemarakan semangat setiap atlet Sarawak demi mencapai sasaran untuk menjadi juara pada SUKMA 2024,” tambahnya.

Seramai 1,365 orang atlet yang mewakili Zon Utara, Zon Tengah, Zon Selatan dan Zon Barat menyertai 13 sukan yang dipertandingkan pada edisi SUKSAR kali ketiga ini. -TVS