Kuala Lumpur: Bekas legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berharap pemain yang berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dapat membuktikan sesuatu dengan menampilkan prestasi cemerlang terlebih dahulu dalam setiap kejohanan sebelum meminta gaji yang tinggi.
Jelasnya, sekiranya mereka dapat melakukan perkara berkenaan, beliau yakin BAM akan bersikap terbuka dan cuba mencari jalan untuk memastikan permintaan itu dapat ditunaikan demi kebaikan kedua-dua pihak.
Namun begitu, ada sesetengah pemain gagal membuktikan prestasi yang konsisten tetapi tetap mahu sesuatu yang lebih tinggi daripada apa yang mereka sumbangkan dalam kejohanan yang disertai.
“Saya tak nak cakap pemain tak boleh minta gaji tinggi, boleh. Tapi yang penting, mereka perlu buktikan terlebih dahulu melalui keputusan yang baik untuk persatuan.
“Sekiranya boleh, saya yakin itu tidak akan jadi masalah. Tapi saya nak cakap, pemain sekarang pun ada sedikit manja dalam hal ini. Kalau dia ada keputusan (positif) dan dia minta gaji tinggi, saya fikir persatuan akan bantu pemain ini melalui penaja.
“Tapi sekarang ada pemain belum sampai tahap itu, tapi sudah minta gaji tinggi. Kalau tak dapat, terus nak jadi pemain profesional,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Stadium Axiata, Bukit Jalil.
Turut hadir ialah Menteri KBS, Hannah Yeoh, Ketua Setiausaha (KSU) KBS, Dr K Nagulendran, dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin.
Selain itu, Chong Wei juga berharap kepimpinan baharu BAM nanti dapat meneliti semula isu gaji pemain dan melakukan perubahan ke arah yang lebih positif.
“Kita harap apabila BAM beralih kepada struktur baharu nanti dan ada ketua baharu, dia boleh bawa perubahan ke tahap yang lebih baik untuk BAM dan berikan yang terbaik kepada atlet semula.
“Saya harap BAM akan beri fokus kepada penyediaan fasiliti, khidmat sokongan dan program pembangunan atlet yang lebih menyeluruh,” katanya.
Terdahulu, terdapat pemain daripada BAM yang dikhabarkan meminta kenaikkan gaji dan paling terbaharu, beregu wanita negara, Pealry Tan- M Thinaah.
Disebabkan itu, Pemangku Presiden BAM, Datuk V Subramaniam memberikan tempoh masa untuk berfikir mengenai hala tuju mereka sama ada masih mahu terus kekal bernaung di bawah BAM ataupun memilih bergelar pemain profesional.