Kuala Lumpur: Kegagalan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dalam menyediakan liga yang kompetitif dilihat menjadi faktor utama skuad ragbi 15 sebelah (15s) negara tidak dapat menampilkan persembahan cemerlang pada aksi playoff Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2025, Sabtu lalu.
Pensyarah Kanan Fakulti Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya (UM), Dr Nasnoor Juzaily Mohd Nasiruddin, berkata dalam perlawanan itu dapat dilihat beberapa kesilapan yang sepatutnya boleh diatasi sekiranya setiap pemain benar-benar bersedia ketika menentang Sri Lanka.
Jelasnya, untuk mendapatkan pemain yang mantap bagi setiap posisi, sudah pasti ia memerlukan aksi liga atau kejohanan di peringkat negeri agar jurulatih negara mempunyai lebih banyak pilihan pemain.
“Setiap pemain sudah menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan menentang Sri Lanka, tetapi mereka kekurangan aksi liga atau minit permainan. Sepatutnya, setiap negeri perlu mengaktifkan liga masing-masing agar pasukan 15s ini dapat bermain lebih banyak perlawanan.
“Dua atau tiga pasukan terbaik daripada setiap negeri pula boleh layak beraksi di peringkat kebangsaan. Dari situ, pemain akan beraksi dalam lebih banyak perlawanan dan barulah jurulatih dapat memilih pemain dalam kalangan yang terbaik untuk membentuk sebuah pasukan yang kukuh.
“Ketiadaan pasukan pelapis kebangsaan dari umur 17, 19, 21 dan 23 tahun. Sebaliknya, yang berlaku ialah beberapa pemain terus diserap ke dalam pasukan senior, menyebabkan mereka kurang pendedahan yang sepatutnya di peringkat remaja,” katanya kepada Arena Metro.
Justeru, beliau berharap KRM boleh bergerak lebih aktif dengan menyediakan kalendar kejohanan yang lebih tersusun, kerana ia dapat membantu jurulatih mencari dan membentuk pemain yang lebih berkualiti.
“Contohnya, kalau mereka sudah tahu bulan April ada perlawanan kelayakan (ARC), maksudnya tahun sebelumnya pun mereka sudah sepatutnya merancang bila liga harus dijalankan. Wajibkan negeri-negeri mengadakan pertandingan, dan dari situ kita akan ada ramai pemain.
“Untuk mencapai ‘peak’ (kemuncak prestasi), perancangan periodization yang sistematik diperlukan di dalam perancangan jadual kejohanan tahunan dari peringkat KRM.
“Cadangan saya adalah wujudkan jawatankuasa pertandingan dan libatkan komuniti yang arif dalam bidang sains sukan untuk membantu menjayakan perancangan tersebut.
“Paling penting, rancang mengikut keperluan pasukan kebangsaan. Selepas ini, pasukan 7s pula akan menghadapi Sukan Sea. Kejohanan untuk 7s biasanya lebih banyak berbanding 15s,” katanya.
Terdahulu, impian skuad ragbi Malaysia untuk kekal beraksi dalam Divisyen7 Premier ARC 2025 musnah selepas tewas kepada juara Divisyen Satu Sri Lanka, 19-59 dalam perlawanan playoff pada aksi yang berlangsung di Racecourse Stadium, Colombo pada 19 April lalu.