Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk melihat acara sukan yang bersesuaian dipertandingkan agar Malaysia tidak menjadi ‘jaguh kampung’ pada Sukan Sea 2027 nanti.
Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, pendekatan itu amat penting bagi memastikan acara sukan itu terus berkembang sekali gus membantu atlet mencapai prestasi tertinggi sehingga ke Sukan Olimpik.
Jelasnya, kebanyakan tuan rumah akan menyenaraikan beberapa sukan kurang popular dikalangan negara pesaing untuk memberi kelebihan ’emas’ buat tuan rumah.
“Kita perlu faham selepas Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, kita hanya mampu untuk menamatkan saingan di kedudukan kelima atau keenam pada edisi-edisi seterusnya. Adakah itu anda panggil kejayaan?.
“Kejayaan adalah mengenai kesinambungan dan mengekalkan kedudukan (carta pingat). Kita juga perlu jadikan Sukan Sea atau (kejohanan) peringkat Asia sebagai medan untuk berjaya di pentas Olimpik.
“Sekiranya kita terus berfikir mengenai bagaimana mahu menjadi ‘jaguh kampung’, apa gunanya? Saya tidak fikir ia satu tindakan yang betul,”katanya.
Untuk makluman, ketika Malaysia bertindak selaku tuan rumah pada Sukan Sea 2017 Kuala Lumpur, atlet negara dilihat seperti beraksi cemerlang untuk muncul juara keseluruhan dengan 145 pingat emas, 96 perak dan 86 gangsa.
Namun begitu, pada edisi seterusnya, wakil Malaysia seperti hilang punca dan gagal memberi tentangan sengit dan hanya mampu menamatkan Sukan Sea Manila 2019 di kedudukan kelima, Sukan Sea Vietnam 2021 (keenam) dan Sukan Sea Kemboja 2023 (ketujuh).
Dalam pada itu, Sukan Sea Thailand hujung tahun ini akan dijadikan sebagai rujukan buat MOM sama ada mengekalkan jenis sukan yang ada atau sebaliknya.
“Kalau kita (Malaysia) hanya masukkan 38 hingga 40 sukan untuk temasya 2027, seperti yang pernah kita buat sebelum ini, saya jangka akan timbul keresahan dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara yang lain.
“Saya bukan kata kita mesti ikut Thailand, tapi kalau kita tak ikut, negara-negara lain mungkin akan melobi supaya sukan-sukan itu tetap dimasukkan. Ini sesuatu yang saya mahu ketengahkan kepada pihak kerajaan.
“Sudah tentu (penyertaan 50 sukan) ini akan bergantung kepada kewangan yang ada. Sebab itulah baru-baru ini timbul cadangan supaya persekutuan antarabangsa menyokong sukan masing-masing untuk dimasukkan dalam Sukan Sea,”kata Norza.