Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Iruan sedia jadi jambatan antara MOM, persatuan sukan kebangsaan

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Tinju Malaysia (PTM), Datuk Iruan Zulkefli sedia membawa suara persatuan sukan kebangsaan jika diberi mandat sebagai Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada pemilihan 19 April ini.

Berbekalkan pengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan dunia sukan khususnya dalam sukan tinju, Iruan percaya dia mampu jadi jambatan kukuh antara MOM dan semua 34 persatuan sukan yang bernaung di bawahnya.

“Saya mahu jadi suara buat persatuan sukan kebangsaan. Suara yang bukan sekadar didengar, tetapi diberi perhatian dan tindakan.

“Saya tak datang bawa agenda peribadi. Saya cuma nak pastikan suara persatuan didengar dan dihargai. Kita perlukan program, bajet dan kerjasama yang kuat untuk capai kejayaan, tak kira di sekolah atau pentas antarabangsa,” katanya.

Iruan yang pernah diberi tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan Asia Hangzhou 2022 dan berkhidmat di Kementerian Belia dan Sukan (2013-2018), selain di beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mahu menggunakan sepenuhnya pengalaman yang ada untuk membantu sukan di negara ini.

Bagi Iruan, semua sukan perlu diberi kemudahan dan perhatian sama rata tanpa mengira populariti.

“Kita tak boleh kerja sendiri. Kita perlukan satu pasukan, satu hati. Bila hubungan antara MOM dan persatuan sukan rapat, lebih mudah untuk kita dengar dan faham apa sebenarnya yang mereka perlukan.

“Kita kena tengok semua sukan kerana setiap satu ada potensi kalau diberi ruang dan sokongan.

“Yang penting, hubungan antara MOM, MSN, KBS dan persatuan kena erat. Kena kerja satu pasukan,” katanya.

Iruan, 48, menerajui PTM sejak 2020 dan yakin masa depan sukan negara akan lebih cerah jika semua pihak duduk semeja dan bergerak seiring.

Selain Iruan, turut bertanding bagi jawatan naib presiden ialah Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (PWM), Datuk Chong Kim Fatt; Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan; Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Gerard Monteiro (skuasy) dan Presiden Taekwondo Malaysia (WTF), Azizul Anuar Adenan.

Dua tokoh sukan wanita pula dinamakan sebagai calon naib presiden wanita – Datuk Paduka Mumtaz Jaffar (bekas atlet olahraga kebangsaan) dan Penolong Setiausaha Persekutuan Renang Malaysia (MAS), Nurul Huda Abdullah.