Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Usah pisahkan Tang Jie-Ee Wei jika mahu mereka kekal dalam RTG

Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh meminta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memikirkan semula keputusan memisahkan pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Ia penting bagi memastikan kedua-duanya terus kekal dalam senarai Program Road to Gold (RTG) menjelang Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Pasangan itu disenaraikan dalam RTG berdasarkan kedudukan mereka dalam kelompok empat terbaik dunia, satu pencapaian yang diletakkan sebagai asas utama pemilihan mereka dalam misi memburu pingat emas pertama negara di pentas Olimpik.

Bagaimanapun, Hannah menegaskan kehadiran mereka dalam program RTG itu hanya akan diteruskan sekiranya kedua-duanya kekal bergandingan bersama dalam acara beregu campuran.

“Negara sudah banyak melabur untuk membangunkan pasangan ini dan kita mula melihat hasilnya.

“Jadi, saya mahu BAM dan pemain menunjukkan komitmen terhadap pelaburan ini.

“Senarai yang diumumkan hari ini adalah untuk Tang Jie dan Ee Wei sebagai satu gandingan.

“Jika BAM bercadang untuk menukar pasangan bermakna kedudukan ranking mereka akan terbubar, sekali gus hilang kriteria ditetapkan dalam RTG,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan senarai rasmi atlet terpilih untuk RTG, hari ini.

Difahamkan, BAM sebelum ini memutuskan untuk memisahkan pasangan berkenaan susulan prestasi tidak menentu kebelakangan ini, dipercayai berpunca daripada masalah hubungan yang semakin renggang antara kedua-dua pemain.

Keputusan itu menyaksikan Tang Jie kini digandingkan bersama Chan Wen Tse manakala Ee Wei pula diletakkan bersama Loo Bing Kun.

Mengulas lanjut, Hannah berkata sebarang pelaburan besar kerajaan menerusi RTG memerlukan tahap disiplin dan tanggungjawab tinggi daripada atlet, agar tiada perubahan mendadak yang boleh menjejaskan perancangan jangka panjang.

“Apabila kerajaan membelanjakan dana besar, atlet perlu tunjukkan akauntabiliti.

“Tidak boleh sewenang-wenangnya buat keputusan peribadi seperti mahu tukar pasangan atau tarik diri.

“Peminat sukan mahukan kepastian dan kestabilan dalam perjalanan atlet ke Olimpik.

“Jadi dalam tempoh dua minggu ini, penyelaras akan berjumpa dengan atlet untuk dapatkan maklum balas dan komitmen mereka terhadap program ini,” katanya.