Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Tang Jie-Ee Wei dalam senarai 20 pemain ke Piala Sudirman

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mempertaruhkan skuad terbaik bagi menghadapi saingan Piala Sudirman 2025 yang bakal berlangsung di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei ini.

Dalam senarai 20 pemain diumumkan hari ini, BAM mempertaruhkan pemain berpengalaman untuk cuba mara sejauh mungkin dalam saingan kali ini.

Namun paling mengejutkan penyenaraian semula dua pemain beregu campuran, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, sekali gus menimbulkan persoalan adalah kedua-duanya bakal digandingkan semula.

Ia berikutan gandingan itu dipisahkan sebelum ini dan BAM sudah menetapkan gandingan baharu buat mereka.

Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tiada dalam senarai susulan masih menjalani proses pemulihan.

Leong Jun Hao dan Justin Hoh akan beraksi dalam kategori perseorangan lelaki manakala perseorangan wanita menyaksikan kelibat Goh Jin Wei dan K Letshanaa.

Beregu lelaki mempertaruhkan gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik; Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun, sementara Pearly Tan-M Thinaah dan Go Pei Kee-Carmen Ting untuk beregu wanita.

Untuk beregu campuran, kem negara meletakkan Goh Soon Huat-Shevon Lai; Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dan kemungkinan Tang Jie dan Ee Wei digandingkan semula.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C dan akan memulakan kempen menentang Perancis pada 28 April disusuli Australia sehari selepas itu dan aksi terakhir bertemu Jepun pada 1 Mei.

Dua tahun lalu, skuad negara meraih pencapaian agak baik apabila muncul tempat ketiga saingan berpasukan itu.