Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nazmizan anggap pemilihan Shereen ke Tokyo kurang tepat

Kuala Lumpur: Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad melihat keputusan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memilih Shereen Samson Vallabouy sebagai wakil Malaysia ke Kejohanan Olahraga Dunia di Tokyo dari 13 hingga 21 September sebagai kurang tepat.

Jelasnya, ketika ini pertandingan olahraga di Malaysia masih belum bermula, jadi timbul persoalan bagaimana KOM membuat keputusan berdasarkan prestasi semasa sedangkan atlet negara yang lain masih belum berlari.

Tambahnya, jika melihat kepada prestasi tahun lalu terdapat beberapa nama atlet yang mampu membawa cabaran negara selepas mencatat masa terbaik dalam kejohanan yang disertai.

“Sebenarnya mereka membuat keputusan berdasarkan kejohanan yang mana? Sebab di Malaysia, kejohanan rasmi belum bermula dan tiada catatan rasmi daripada atlet negara lagi.

“Untuk menilai prestasi atlet, keputusan serta pemilihan perlu dilakukan secara menyeluruh bagi mencari yang terbaik dalam kalangan terbaik.

“Zaidatul (Husniah Zulkifli) pun bagus sebab dia berjaya memecah rekod kebangsaan 100 meter (m) wanita tahun lalu dengan catatan 11.49 saat (s).

“Atlet muda berpagar dari Terengganu, Mohamad Armin Zahryl Abdil Latif pun OK dari segi catatan masa 13.93s.

“Untuk jangka masa panjang, saya memilih Armin Zahryl untuk ke Kejohanan Olahraga Dunia dan dia pun baru berusia 19 tahun,” katanya kepada Arena Metro.

Selain itu, dia melihat seorang lagi pelari pecut yang berkelana di Amerika Syarikat, Muhammad Azeem Fahmi berada di prestasi terbaik ketika ini.

“Saya lihat Azeem pun bagus dalam acara 200m apabila berjaya melakukan 20.79s. Kalau keputusan dibuat selepas Super Series 1 dan beberapa kejohanan lain yang disertai oleh atlet negara yang lain, itu akan jadi lebih baik tanpa timbul sebarang persoalan,” katanya.

Sebelum ini, KOM mengumumkan Shereen akan mewakili negara di Tokyo menggunakan tiket wild card, namun acara yang bakal disertai masih belum diputuskan.

Namun begitu, sekiranya ada atlet Malaysia yang berjaya layak ke kejohanan berkenaan secara merit, maka tiket wild card itu akan terbatal.

Sekiranya Shereen mahu layak secara automatik, dia perlu mencatat masa 50.75 saat (s) untuk 400m, 22.57s (200m) dan 11.07s (100m).