Kuala Lumpur: Pemain golf muda terbaik dari 16 negara bakal berentap pada edisi kedua Kejohanan Golf Malaysia Kanak-Kanak Amerika Syarikat (AS) 2025 di Kelab Golf & Country Glenmarie bermula esok hingga 11 April ini.
Kejohanan anjuran SportExcel yang mendapat sokongan pelbagai penaja itu menjadi platform untuk pemain muda terbaik negara menguji kekuatan mereka menentang pemain antarabangsa, di samping merebut peluang melayakkan diri ke Kejohanan Golf Remaja Dunia pada Julai depan.
Pengarah Eksekutif SportExcel C Sivanandan berkata, kejohanan itu sangat penting untuk pemain muda negara mempamerkan potensi terbaik mereka, selain mendapatkan pendedahan di peringkat antarabangsa.
“SportExcel melihat kejohanan ini sebagai platform untuk pembangunan pemain di peringkat akar umbi seawal usia lima tahun.
“Pada masa sama, pemain elit boleh menggunakan platform ini untuk melayakkan diri dan bertanding pada kejohanan antarabangsa di serata dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.