Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KOM tunggu lampu hijau pelantikan jurulatih baharu

Shah Alam: Pelantikan barisan kejurulatihan baharu skuad olahraga negara kini dalam fasa akhir. Demikian perkembangan terkini dimaklumkan Pengurus Besar Olahraga Malaysia (KOM), Nurhayati Karim yang berkata ketika ini pihaknya sendang menunggu lampu hijau daripada Majlis Sukan Negara (MSN) selepas menghantar senarai nama jurulatih kepada badan induk itu.

“Perkembangan terkini mengenai pelantikan jurulatih bagi skuad olahraga kini dalam fasa akhir. Semua maklumat kita sudah hantar kepada MSN. Jurulatih itu membabitkan semua disiplin pecut, lontaran, lompatan dan lain-lain lagi. Sekarang ini kita tengah tunggu maklum balas MSN dan mungkin akan tahu jawapan dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum ini laporan media menyatakan terdapat kekosongan dalam barisan kejurulatihan skuad olahraga negara terutama bagi disiplin pecut selepas kontrak Mohd Poad Md Kassim tidak disambung hujung tahun lalu.

Hayati berkata demikian ketika ditemui pada sidang media mengumumkan skuad pecut Jerman yang akan mengadakan latihan pusat di Malaysia selama empat minggu bagi persiapan menghadapi Kejohanan Lumba berganti-ganti di Guangzhou, China pada 10 hingga 11 Mei depan.

Sekretariat Olahraga Jerman, Joerg Teichmann yang turut hadir pada sidang media hari ini berkata, seramai 47 individu membabitkan atlet, jurulatih, doktor dan pegawai fisiologi akan datang ke Malaysia, Khamis ini.

“Sesi latihan ini hasil hubungan baik yang sudah lama terjalin dengan Persatuan Olahraga Jerman serta Kesatuan Olahraga Malaysia,” katanya.

Antara nama-nama besar yang akan menjalani latihan pusat di Malaysia adalah kuartet 4×100 meter wanita negara itu yang memenangi pingat gangsa di Olimpik Paris tahun lalu, iaitu Rebekka Haase, Lisa Mayer dan Alexandra Burghardt.