Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Shereen muncul juara di Florida

Kuala Lumpur: Pelari wanita negara, Shereen Samson Vallabuoy membuktikan dirinya berada dalam kelompok terbaik selepas berjaya meraih kejuaraan pertamanya musim ini dengan mendominasi acara 400 meter (m) wanita pada Kejohanan Embry-Riddle Running Elements Classic 2025 di Florida, Amerika Syarikat.

Shereen yang mewakili pasukan Life Speed berjaya menjadi pelari terpantas dengan catatan masa 53.72 saat (s) untuk meraih emas sementara pingat perak dimenangi Gabby Johnson daripada pasukan North Florida dengan catatan masa 55.17s manakala gangsa diraih Nevaeh Lorjuste daripada pasukan Rowan (56.91s).

Bagi pemenang pingat gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu, ia bukan kemenangan yang mudah buat dirinya kerana perlu berhadapan dengan beberapa cabaran sebelum meraih kemenangan.

“200m pertama agak mencabar disebabkan cuaca berangin dan arah angin berlawanan.

“Namun secara keseluruhan, beliau berasakan sangat baik dari segi teknikal dan berlari dengan penuh kekuatan,” menurut status Facebook Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Kemenangan itu sudah pasti akan menaikkan moral atlet berusia 27 tahun untuk memburu lebih banyak kejayaan selepas ini, termasuk melayakkan diri ke Kejohanan Olahraga Dunia 2025 di Tokyo, Jepun pada September depan dan Sukan Sea Thailand 2025 hujung tahun nanti.

Untuk rekod, Shereen adalah pemegang rekod kebangsaan dalam acara 400m dengan catatan 51.79s yang dilakukannya pada Kejohanan Music City Track Carnival di Tennessee, Amerika Syarikat pada Jun tahun lalu.