Kuala Lumpur: Atlet pecut negara, Muhmammad Azeem Fahmi terus membuktikan keupayaan dirinya apabila menamatkan larian di tempat pertama dalam saringan keenam dengan catatan 20.79 saat (s) pada Kejohanan Olahraga Pepsi Florida Relays di Florida, Amerika Syarikat, semalam.
Catatan itu juga memperlihatkan Azeem hampir memecah rekod kebangsaan 200 meter (m) milik Russel Taib yang dipegangnya sejak 2019, 20.77s, tetapi tidak kesampaian apabila hanya dibezakan 0.02 saat (s) sahaja.
Azeem yang mewakili Universiti Auburn juga membuktikan dirinya antara pelari harapan univerisiti itu apabila berjaya berada di tempat ke-13 daripada 45 peserta yang mengambil bahagian secara keseluruhan dan menjadi pelari kedua terbaik yang mewakili Universiti Auburn.
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) yakin Azeem mampu mencipta lebih banyak kejayaan selepas mempamerkan larian yang cukup bertenaga pertandingan itu.
“Teruskan, Azeem! Kejayaan sedang menantimu di garisan penamat. Doa rakyat Malaysia sentiasa bersama atlet olahraga.
“Azeem mencatat rekod peribadi (PB) 20.79 saat dalam acara 200m di Pepsi Florida Relays 2025 di Gainesville pada 4 April, hanya 0.02 saat di belakang rekod kebangsaan 200m yang dipegang oleh Russel Taib sejak 2019.
“Pencapaian ini adalah kesinambungan yang membanggakan selepas kejayaannya memecahkan rekod kebangsaan 60m dalam dewan. Azeem kini berada pada tahap yang membanggakan dan terus menunjukkan prestasi cemerlang di bawah bimbingan jurulatih Ken di Universiti Auburn,” kata KOM.
Jika melihat prestasi semasa Azeem Fahmi dalam acara 200m itu, pujian harus diberikan kerana prestasinya semakin meningkat dan catatan masa itu juga membuktikan latihan yang dilaluinya mula menunjukkan hasil yang positif.
Sementara itu, bagi Azeem, dia melihat masih terdapat beberapa aspek perlu dibaiki untuk tampil dengan larian yang lebih konsisten selepas ini.
“Masih banyak kerja yang perlu dilakukan,” kata Azeem di Instagramnya.
Ketika ini, pemegang rekod 100m kebangsaan itu sedang memberi fokus dan mencari formula terbaik untuk mendapatkan catatan masa terbaik, sekali gus layak ke Kejohanan Dunia di Tokyo pada 13 hingga 21 September ini.