KUALA LUMPUR: Pemain skuasy negara Rachel Arnold bangkit daripada ketinggalan dua set sebelum menewaskan pemain Mesir, Nour Heikal pada pusingan pertama Terbuka Australia 2025 di Brisbane hari ini.
Nour, 21, memulakan saingan penuh bertenaga untuk mendahului dua set awal hasil kemenangan 11-7 dan 11-9.
Bagaimanapun, pemain Malaysia itu bangkit mempamerkan aksi penuh dominan, memenangi tiga set berikutnya 11-5, 11-6 dan 11-4 untuk memastikan kemaraan ke pusingan kedua.
“Saya agak gugup. Saya cuba untuk menyesuaikan diri dengan gelanggang, tetapi cukup berpuas hati dengan prestasi selepas itu.
“Saya senang hati mereka dapat mengatur semula acara ini (ditangguhkan sehari akibat Siklon Tropika Alfred) dan saya juga cukup gembira gelanggang kaca digunakan di sini. Saya rasa ini akan menjadi medan pertarungan yang baik untuk setiap orang di Brisbane,” katanya menerusi kenyataan Jelajah PSA hari ini.
Rachel akan bertemu Rowan Elaraby dari Mesir pada pusingan kedua esok, dengan pemain nombor 19 dunia itu mempunyai rekod 3-3 dalam pertembungan sesama mereka.
Sementara itu, pemain negara Ainaa Amani dan Aira Azman mengalami nasib sama selepas kalah perlawanan masing-masing.
Ainaa tewas kepada Marina Stefanoni dari Amerika Syarikat 9-11, 3-11, 8-11 dalam tempoh 28 minit, manakala Aira kalah di tangan Nicole Bunyan dari Kanada 9-11, 11-9, 11-4, 7-11, 8-11. – BERNAMA