Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Guna kelebihan beraksi di Axiata buru mata ke Olimpik

Kuala Lumpur: Aksi pembuka tirai badminton antarabangsa akan bermula Selasa ini apabila berlangsungnya Terbuka Malaysia di Axiata Arena dan dalam masa sama semua pemain akan berlumba-lumba untuk menambah mata bagi kelayakan ke Sukan Olimpik 2024.

Buat pemain negara, beraksi di laman sendiri adalah peluang terbaik untuk memperagakan aksi mantap dan mara sejauh mungkin sekali gus mampu menambah mata bagi perlumbaan ke temasya berkenaan.

Tumpuan sudah pasti terarah kepada pemain yang sekarang ini berada di kedudukan terbaik untuk layak ke Olimpik seperti perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, begitu juga dengan Goh Jin Wei untuk saingan perseorangan wanita.

Bagi beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik walaupun berada di kedudukan terbaik kelayakan Olimpik, mereka juga sudah pasti mahu mengukuhkan lagi ranking agar mendapat undian selesa di Paris nanti.

Selepas prestasi tidak menentu akibat masalah kecederaan, musim baharu ini juga sangat penting buat beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah bagi menempatkan kedudukan selamat ke Olimpik dan ia harus bermula dengan menempatkan diri di kedudukan terbaik di Terbuka Malaysia.

Beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula merasakan diri mereka belum selamat walaupun berada di kedudukan layak ke temasya berkenaan dan mereka serta jurulatih, Nova Widianto merasakan perlu menambah lagi pungutan mata kelayakan sebanyak mungkin sehingga ke saingan Seluruh England.

“Kita mungkin sering membahaskan bahawa kedudukan Tang Jie-Ee Wei nampak selamat, namun saya tidak mahu terlalu yakin, biar benar-benar selamat dan menjaga pungutan mata sebaik mungkin.

“Kita masih perlu ikut kejohanan bertaraf 300 sekali pun kerana tidak mahu terlalu yakin untuk layak ke temasya berkenaan. Perlu diingat pemain yang di bahagian bawah juga akan terus berlumba untuk menambah pungutan mata mereka,” kata Nova yang memenangi pingat perak di Olimpik Beijing 2008 bagi saingan beregu campuran.

Bagi pemain beregu lelaki pula, Aaron Chia, dia tidak memikirkan mengenai rekod buruk dengan beberapa pasangan lawan ketika memburu mata ke Olimpik kerana tumpuan utama adalah mencatat kemenangan ketika di temasya itu nanti.

“Mungkin bertemu beberapa pasangan seperti Liang Weng Keng-Wang Chang (China) adalah disebabkan mereka mempunyai kelebihan daripada segi faktor usia, mereka masih muda. Mereka seperti tidak berasa takut apabila berada di dalam gelanggang.

“Apa pun bagi saya ia tidak menjadi masalah tumpas sekarang (kelayakan Olimpik) paling penting adalah ketika Olimpik nanti, kami harus mencatat kejayaan ke atas mereka,” kata Aaron yang juga merujuk kepada dua lagi pasangan sukar ditumpaskan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty (India) dan Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun).

Antara pemain negara yang turut mengintai dan dilihat masih ada sedikit peluang melayakan diri ke Olimpik Paris ialah beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Begitu juga dengan dua pasangan beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang harus terus menukar ke ‘gear lima’ jika berhasrat mahu mendapatkan slot di Paris.-Harian Metro