Kuala Lumpur: Hanya tiga tahun lalu, jaguh boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah sudah berputus asa dan membulat tekad untuk berhenti daripada sukan itu.
Namun, kini dia berhak untuk berasa bangga apabila melakar sejarah selaku pemain nombor satu dunia.
Nor Farah mengakui tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mencapai kedudukan tertinggi itu selepas sering kecewa terutama di pentas Sukan Malaysia (Sukma) apabila gagal meraih kemenangan sehingga mendorongnya untuk berhenti.
“Memang saya tak pernah jangkakan untuk berada di tahap sekarang sebab kalau nak ikutkan cerita, selepas Sukma 2022, memang saya sudah berputus asa untuk main sukan ini.
“Tetapi disebabkan jurulatih saya ketika itu (Ariffin Abdul Ghani) paksa untuk teruskan, saya pun teruskan.
“Matlamat utama adalah dapatkan hadiah pingat kepadanya dan Alhamdulillah, saya dapat kalungkan pingat (di Kejohanan Kebangsaan) yang bernilai kepadanya.
“Sejak itu saya mula mewakili Malaysia dan dapat bawa balik pingat untuk jurulatih. Sebab sebelum ini, setiap kali Sukma, saya tak dapat beri hadiah kemenangan pingat kepadanya,” katanya ketika dihubungi.
Berdasarkan kemas kini ranking dunia wanita di World Bowls Series, atlet negara berusia 24 tahun itu kini menduduki kedudukan teratas dengan mengumpul 723 mata.
Pemain dari Scotland, Julie Forest berada di kedudukan kedua selepas mengumpul 683 mata manakala Kelsey Cottrell dari Australia berada di tangga ketiga dengan 676 mata.
Nama Nor Farah mencuri perhatian selepas dia melakar sejarah dengan meraih pingat emas dalam acara individu wanita pada Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands, pada April tahun lalu.
Tambah Nor Farah, kejayaan muncul pemain nombor satu dunia adalah kejayaan terbesar dalam kariernya.
Justeru, kejayaan itu melonjakkan lagi semangatnya untuk mempertahankan gelaran di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia di Scotland, bulan depan.
“Saya letak sasaran untuk mengekalkan kejuaraan pada tahun ini selepas menang tahun lalu.
“Kalau sekiranya tak dapat kekalkan (kejuaraan), sekurang-kurangnya saya mahu membawa pulang sesuatu untuk Malaysia,” katanya.