Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Peluang terbaik beregu akhiri kemarau Seluruh England

Kuala Lumpur: Mampukah enam wakil beregu lelaki negara yang akan beraksi di pentas Seluruh England menamatkan kemarau kejuaraan di kejohanan tertua itu dari 11 hingga 16 Mac ini.

Bekas pemain beregu negara Tan Boon Heong melihat situasi itu sebagai peluang terbaik untuk membawa pulang gelaran yang kali terakhir dimenangi olehnya ketika bergandingan bersama Koo Kien Keat pada 2007 selepas menewaskan Cai Yun-Fu Hai Feng dari China.

Barisan beregu lelaki negara kali ini akan diketuai beregu nombor dua dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani serta bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dengan Boon Heong melihat ia masa terbaik untuk Malaysia membawa pulang gelaran Seluruh England dalam acara beregu lelaki.

“Peluang untuk menang kali ini amat cerah. Kita ada enam beregu lelaki jadi, peluang itu sangat tinggi. Saingan sangat terbuka dalam acara beregu lelaki walaupun ada pemain kita tidak begitu konsisten.

“Inilah masanya untuk kita bawa pulang gelaran juara sebab sudah terlalu lama kita tak menang sejak 2007. Jadi nasihat saya, berilah yang terbaik dan bagi cabaran kepada beregu lain,” katanya.

Selain Sze Fei-Izzuddin dan Aaron-Wooi Yik, kem beregu lelaki negara akan turut dibarisi Wei Chong-Kai Wun, Arif Junaidi-Yap Roy King, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong.

Mengulas mengenai kemampuan Sze Fei-Izzuddin yang kini bergelar beregu lelaki nombor satu negara, Boon Heong yakin akan kemampuan mereka namun dalam pada masa sama enggan menafikan peluang pasangan yang lain untuk muncul juara Seluruh England.

Mungkin lima beregu lelaki negara termasuk Aaron-Wooi Yik mampu untuk melakukan kejutan biarpun di atas kertas laluan mungkin berliku berikutan kecederaan pergelangan tangan berulang mengganggu rentak Aaron.