Kuala Lumpur: Kecederaan berulang yang dialami oleh beregu negara, Aaron Chia tidak menggusarkan buat kem negara yang dalam persiapan berdepan Kejohanan Badminton Terbuka Orleans bermula Selasa ini
Ketua jurulatih beregu lelaki Akademi Badminton Malaysia (ABM), Herry Iman Pierngadi memaklumkan bahawa, kecederaan pergelangan tangan Aaron tidak serius dan dia dijangka akan pulih sepenuhnya dalam masa terdekat ini.
Justeru, Aaron-Wooi Yik dijangka tidak berdepan masalah untuk beraksi di Orleans sebelum turun memburu gelaran di Seluruh England minggu depan.
“Ia kecederaan berulang. Sekejap hilang kemudian datang lagi. Tak tahu bila kecederaan itu datang lagi tapi bagi saya ia bukan masalah besar kerana persiapan berjalan lancar.
“Tapi Aaron memang ada cakap masih sakit tapi dalam latihan nampak baik dan bagus. Tapi risau itu memang ada tapi ia akan menjadi biasa selepas pemulihan,” katanya yang mesra dipanggil Herry IP.
Mengulas mengenai sasaran, Herry tidak menafikan beliau meletakkan harapan tinggi iaitu muncul juara kepada beregu negara itu di Seluruh England.
Ini kerana, mereka akan turun dengan status selaku naib juara Seluruh England.
“Kita memang letakkan sasaran kepada mereka kerana setiap kejohanan perlu ada sasaran cuma dapat capai ataupun tidak. Semua itu bergantung pada kondisi mereka, terutamanya pada saingan Seluruh England nanti,” katanya.
Tambah Herry yang turut diberi julukan Naga Api, beliau tidak akan bersama Aaron-Wooi Yik pada jelajah Eropah itu nanti kerana berdepan masalah visa, namun beliau tetap memantau dan berkomunikasi dengan anak-anak buahnya.