Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Nurul Izzah terperanjat kalahkan idola

NILAI: Ratu berbasikal trek negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, tidak menyangka dapat menewaskan idolanya yang juga juara dunia dari Jepun, Mina Sato, ketika menjuarai perlumbaan akhir acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025, hari ini.

Kayuhan bertenaga pelumba berusia 22 tahun itu menyaksikan dia berjaya mempertahankan pingat emas dimenanginya tahun lalu, mengatasi pelumba Korea Selatan, Kim Haeun yang berada di tempat kedua manakala Guo Yufang dari China ketiga di Velodrom Nasional, di sini.

Sato pula yang masih segar dengan kejayaan muncul juara dunia di Ballerup, Denmark pada Oktober tahun lalu sekadar menamatkan aksi final di kedudukan keenam.

“Saya tidak sangka dapat menewaskannya (Sato) di kejohanan ini kerana kita tahu yang dia masih berada pada tahap terbaiknya selepas muncul juara dunia pada Oktober tahun lalu.

“Jadi, saya sangat gembira dapat melakukannya di sini. Saya sudah membuktikan yang saya boleh menewaskannya dan saya akan terus bekerja keras untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,” kata Nurul Izzah selepas tamat perlumbaan.

Ini adalah pingat ketiga Nurul Izzah dalam perlumbaan ACC tahun ini selepas meraih perak dalam acara pecut berpasukan dan gangsa dalam pecut individu wanita.

Pada ACC 2024 di New Delhi, India, pelumba yang diberi julukan The Pocket Rocketwoman itu mencipta kejutan apabila menamatkan kemarau 12 tahun tanpa emas negara dengan memenangi acara keirin serta 500 meter ujian masa.

Nurul Izzah kini mengalihkan fokus dalam acara 1 kilometer (km) ujian masa wanita yang dijadual berlangsung, esok.

“Sasaran saya dalam acara ini, saya mahu cuba buat catatan masa yang terbaik,” katanya.