Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Sawda raih emas kedua

Nilai: Pelumba wanita remaja semakin meningkat naik, Sawda Hasbullah, terus mencipta sejarah tersendiri apabila meraih emas kedua peribadinya selepas berjaya menewaskan wakil Korea Selatan, Park Hye Rin, 2-0 dalam aksi final acara pecut Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) di Velodrom Nasional Nilai, hari ini.

Selepas mencipta rekod Asia dan dunia dalam acara ujian masa 1 kilometer (km) pada Ahad lalu, atlet berusia 17 tahun itu terus membuktikan dirinya antara pelumba masa depan negara apabila tidak berdepan masalah besar untuk menewaskan lawannya itu.

Lebih manis, Sawda menjadi atlet wanita pertama dalam kategori junior yang menghadiahkan kejuaraan buat Malaysia di pentas ACC.

“Saya terlepas peluang meraih pingat emas dalam acara pecut berpasukan dan keirin, jadi saya sangat mahu berusaha sebaik mungkin dan hari ini, dalam acara pecut. Saya sangat berpuas hati dengan penampilan saya di ACC,” katanya.

Pingat gangsa pula diraih pelumba dari Korea, Park Yebeen yang menewaskan lawan dari Taiwan, Liu Shang Ying 2-0.

Selain itu, Sawda turut memaklumkan dirinya amat yakin untuk menewaskan lawannya itu walaupun pada perlumbaan kedua, dirinya menggunakan taktikal berlainan, namun dia tetap bersyukur kerana berjaya menamatkannya dengan kemenangan yang penuh bermakna.

Untuk rekod, atlet kelahiran Melaka itu meraih pingat sulung iaitu perak menerusi acara pecut berpasukan wanita sebelum Sawda meraih emas pertama dalam acara 1km ujian masa dengan catatan 1:10.818s.