Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Izzah pertahan emas, Firdaus dipintas saat akhir

Nilai: Atlet berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, membuktikan dirinya antara pelumba terbaik di Asia apabila berjaya mempertahankan kejuaraan selepas memenanginya pada aksi final acara keirin di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025, hari ini.

Kemenangan itu membolehkan dia mempertahankan kejuaraan dalam acara yang sama yang diraihnya pada ACC tahun lepas di New Delhi, India.

Pada perlumbaan final yang berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Izzah Izzati yang bermula sebagai pelumba ketiga berjaya mengatur strategi dengan bijak sebelum memecut untuk menjadi atlet terpantas melepasi garisan penamat dan menewaskan lima lawannya yang lain.

“Saya rasa perlumbaan saya sangat baik dan sangat bangga kerana berjaya menewaskan Mina Sato yang baru memenangi kejohanan dunia (tahun lepas). Ini akan memberi semangat kepada saya untuk acara seterusnya, 1 kilometer (km) ujian masa.”

“Malah, saya juga berjaya membuktikan bahawa saya mampu bersaing di peringkat tertinggi (menerusi keputusan hari ini),” katanya selepas tamat perlumbaan di sini.

Wakil Korea Selatan, Kim Ha Eun, yang cuba memintas Izzah Izzati di penghujung perlumbaan terpaksa berpuas hati meraih perak, manakala gangsa dimenangi oleh pelumba China, Guo Yufang.

Juara dunia dari Jepun, Sato, sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keenam.

Untuk makluman, Malaysia terpaksa menunggu sehingga hari kelima sebelum atlet kelahiran Kedah itu menceriakan peminat sukan berkenaan dengan emas sulung negara bagi kategori elit.

Sementara itu, hasrat Muhammad Shah Firdaus Sahrom untuk mengulangi pencapaian Izzah Izzati tidak tercapai apabila dipintas pelumba Jepun, Shinji Nakano, pada saat akhir dan terpaksa berpuas hati dengan perak, manakala gangsa diraih seorang lagi wakil Jepun, Kaiya Ota.

Namun begitu, pujian harus diberikan kepada Shah Firdaus yang tetap memberikan persembahan terbaik meskipun dirinya mengalami kecederaan lutut dan hampir meraih emas dalam acara itu.

Seorang lagi wakil negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis, pula mengakhiri saingan di kedudukan kelapan dalam perlumbaan klasifikasi 7-12.