Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Buat laporan polis – Adam Adli

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggesa mangsa kes penipuan berkaitan aktiviti sukan supaya tampil membuat laporan polis bagi memastikan tindakan segera dapat diambil terhadap pihak bertanggungjawab.

Menurut Timbalan Menteri, Adam Adli Abd Halim, siasatan dalaman akan dijalankan dan jika terdapat mana-mana persatuan yang mempunyai kaitan dengan KBS terbabit isu berkenaan tindakan tegas akan diambil.

“Saya sarankan laporan polis dibuat dan kita akan pastikan siasatan dilakukan walaupun sebenarnya ia adalah penipuan, bukannya daripada persatuan atau akademi itu sendiri.

“Ada juga sebelum ini dilaporkan acara bola sepak yang penganjurnya tiada tetapi pemain semuanya hadir.

“Jadi ini memang perlu dilaporkan dan kami meminta semua yang terlibat untuk membuat laporan polis. Kami juga akan meminta pihak berkaitan seperti Pesuruhjaya Sukan (PJS) menjalankan siasatan.

“Jika ada mana-mana persatuan sukan kebangsaan atau pihak yang mempunyai kaitan dengan kementerian, kami akan pastikan tindakan tegas diambil,” katanya ketika ditemui Kursus Pendedahan dan Latihan Pengurusan Nenas dan Kursus Personel Binaan (Kad Hijau) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan polis menerima sekurang-kurangnya enam laporan berhubung kes penipuan penganjuran kejohanan bola sepak di Padang Taman Dr Seenivasagam yang menjadi tular di media sosial.

Kejohanan tersebut disertai 32 pasukan bola sepak dari seluruh negara serta Indonesia. Terbaharu, tular di media sosial mengenai ibu bapa yang menjadi mangsa penipuan pakej latihan badminton dengan modus operandi menggunakan pelbagai nama akademi, mengakibatkan kerugian mencecah puluhan ribu ringgit.