Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Selangor akui cabaran besar SUKMA 2026 tanpa venue utama

SHAH ALAM: Selangor mengakui ketiadaan venue utama dalam penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor tahun hadapan menjadi cabaran besar yang perlu dihadapi.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi, bagaimana pun berkata, kerajaan negeri sudah mengenalpasti beberapa venue sedia ada yang boleh digunakan untuk menjayakan SUKMA Selangor 2026.

“Antara cabaran utama yang dikenalpasti dalam persiapan negeri Selangor sebagai tuan rumah temasya SUKMA 2026 adalah ketiadaan venue utama untuk penganjuran itu, memandangkan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) dijangka hanya akan siap fasa satu pada pertengahan tahun 2027.

“Dalam mengatasi cabaran itu, venue pertandingan sudah pun dikenalpasti dan ianya masih boleh digunakan bagi memastikan temasya berlangsung dengan jayanya.

“Kerajaan negeri berpandangan tiada keperluan membina infrastuktur sukan yang baharu dan ia dilihat lebih efisyen dan lebih penjimatan. Semua venue pertandingan hanya akan dinaiktaraf dan diperbaiki bagi memastikan mengikut standard ditetapkan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) dan David Cheong Kian Yong (PH-Kajang) berhubung cabaran persiapan SUKMA yang dikenalpasti, jalan penyelesaiannya serta usaha mempertingkatkan prestasi atlet.

Sementara itu katanya, selaku tuan rumah, Selangor sudah pasti mempunyai sasaran untuk muncul juara keseluruhan dengan pada ketika ini, kerajaan melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor sudah mula merangka dan melaksanakan beberapa program bagi meningkatkan prestasi kontinjen.

“Walau bagaimana pun, jumlah sebenar sasaran pingat secara spesifik masih belum boleh diberikan. Ini disebabkan jumlah acara yang akan dipertandingkan pada temasya SUKMA akan datang masih belum dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Tertinggi SUKMA,” katanya.