Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Lapan sukan dapat dana RM20j

Petaling Jaya: Lapan sukan yang dipertandingkan di temasya Sukan Olimpik mendapat ‘keistimewaan’ apabila diberi suntikan dana sebanyak RM20 juta untuk Program Pembangunan Sukan Olimpik.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika mengumumkan perkara itu hari ini berkata, lapan sukan yang dimaksudkan adalah terjun, renang, badminton, berbasika, trek, memanah, olahraga, skuasy dan taekwondo.

Jelasnya, tujuan utama suntikan dana daripada Kementerian Kewangan itu diberikan adalah bagi tujuan pembangunan bakat kelapan-lapan acara sukan berkenaan.

“Selalunya aduan yang kami terima adalah kenapa hanya bola sepak menerima banyak dana kerajaan dalam bentuk sokongan kewangan, tetapi tidak untuk sukan-sukan yang dipertandingkan di Olimpik.

“Jadi kami membuat keputusan untuk mengemukakan permohonan kepada Kementerian Kewangan bagi mendapatkan bajet untuk pembangunan bakat muda untuk lapan Sukan Olimpik terpilih.

“Kami lihat banyak atlet junior yang pergi (ke Olimpik) nampak ada kekurangan. Mungkin kerana kekurangan dana dan pendedahan. Jadi untuk mengatasi masalah ini, kami berikan dana RM20 juta untuk tujuan pembangunan bakat bagi mengenalpasti bakat-bakat di semua peringkat,” kata Hannah selepas merasmikan bengkel Program Pembangunan Sukan Olimpik, hari ini.

Jelas Hannah, peruntukan RM20 juta itu tidak akan diagihkan secara sama rata kepada semua sukan kerana keperluan setiap sukan adalah berbeza.

Katanya, dana berkenaan akan membuka lebih banyak peluang kepada atlet muda untuk menonjol dan memastikan Malaysia tidak ketandusan bakat di masa hadapan.

“Kami mahu melihat hasil daripada pelaburan ini dan membuktikan bahawa dana yang diberikan mampu membawa perubahan besar kepada prestasi sukan negara di peringkat Olimpik,” katanya lagi.