Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
PKBM sasar tiga pingat, tak gusar tanpa Azizulhasni

Nilai: Walaupun tanpa kelibat jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang, skuad berbasikal trek kebangsaan tetap meletakkan sasaran tiga pingat pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2025 yang bakal berlangsung di Velodrom Nasional, di sini, dari 21 hingga 27 Februari ini.

Ketua jurulatih, Harnizam Basri berkata, berdasarkan barisan pelumba yang disenaraikan, sasaran itu dianggap realistik dengan sandaran utama diletakkan kepada bintang muda, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, dalam acara keirin wanita.

Selain itu, skuad negara turut berharap meraih pingat menerusi acara pecut berpasukan lelaki dan wanita.

“Saya sasarkan tiga pingat, tetapi tidak pasti warna apa. Namun, dua daripadanya diharap hadir menerusi acara pecut berpasukan lelaki dan wanita serta satu lagi dalam keirin wanita,” katanya ketika ditemui pada sidang media ACC 2025 yang disempurnakan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill.

Pada edisi tahun lalu di New Delhi, India, skuad negara membawa pulang dua emas, dua perak dan tiga gangsa dengan Nurul Izzah mencuri tumpuan apabila menyumbang kedua-dua emas menerusi acara ujian masa dan keirin wanita.

Dalam pada itu, Amarjit yakin ketiadaan Azizulhasni tidak akan menjejaskan kehadiran penonton, lebih-lebih lagi pelumba berpengalaman itu sendiri sudah menyeru peminat hadir menerusi media sosial.

“Saya percaya peminat tetap akan datang memberi sokongan. Malah, mungkin Azizulhasni sendiri turun ke velodrom untuk memberi semangat kepada rakan sepasukan,” katanya.