Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Azeem tekad pecahkan rekod 100m

Kuala Lumpur: Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Fahmi semakin bersemangat selepas memecahkan rekod kebangsaan acara 60 meter (m) dalam dewan di Kejohanan Jemputan Tiger Paw di Universiti Clemson, California, Amerika Syarikat (AS), semalam.

Azeem, 21, mencatat masa 6.60 saat (s) di peringkat separuh akhir, sekali gus memperbaharui rekod lamanya 6.62s yang dilakukan pada kejohanan sama dua tahun lalu.

Tidak mahu berhenti setakat itu, pemenang gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 itu kini mengalihkan tumpuan kepada satu lagi sasaran – memecahkan rekod kebangsaan acara 100m pula.

“Rekod ini memberi saya keyakinan dan motivasi tambahan untuk terus beraksi lebih baik musim ini. Sasaran utama saya adalah kekal sihat dan mengekalkan momentum hingga ke kejohanan luar dewan seterusnya.

“Saya berharap dapat memperbaiki catatan masa dan mungkin mencipta satu lagi rekod kebangsaan,” katanya menerusi video yang dikongsi Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) di Facebook.

Ketika ini, Azeem memegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s yang dilakukan di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, pada 2022.

Selepas ini, dia akan beraksi di Kejohanan Southeastern Conference (SEC) di Texas A&M University dalam tempoh dua minggu lagi.

“Jika berjaya ke final NCAA (Persatuan Olahraga Kolej Kebangsaan), saya akan kembali bersaing dalam tempoh empat minggu lagi,” katanya.