Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
KBS kenal pasti calon sesuai jawatan KP MSN

Petaling Jaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah mengenalpasti beberapa calon yang sesuai untuk menjawat jawatan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) yang baharu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya dalam proses untuk melakukan saringan agar dapat memilih individu terbaik sebagai pengganti bagi menggantikan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Abdul Rashid Yaakub yang akan tamat kontrak April ini.

Namun begitu, beliau menyatakan individu berkenaan masih belum diketahui dan akan diumumkan pada masa terdekat.

“Nama itu sudah pasti ada dan seperti jawatan ketua pegawai eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara kita akan buat proses temu duga.

“Bagaimanapun proses temu duga masih belum berjalan. Apa-apa kita akan kemas kini kepada media nanti,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Siri Golf Amatur Kebangsaan di Kelab Golf Saujana di sini hari ini.

Untuk rekod, Abdul Rashid dilantik menggantikan Datuk Ahmad Shapawi Ismail pada November 2023 yang bersara wajib pada September 2023.

Pada perkembangan sama, Hannah menyatakan pihaknya sudah menemui pengganti CEO Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli yang akan menamatkan perkhidmatannya pada 24 Februari ini dan akan maklumkan tidak lama lagi.