Petaling Jaya: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mempertimbangkan semula untuk memastikan atlet luncur alpine negara, Aruwin Salehuddin menerima peruntukan secukupnya sebagai persediaan pada kejohanan akan datang.
Ini susulan selepas atlet berusia 21 tahun itu menampilkan prestasi cemerlang di Sukan Musim Sejuk Asia Kesembilan di Harbin, China baru-baru ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyedari sukan berkenaan banyak mendapatkan sokongan daripada ibu bapa termasuk dari segi kewangan bagi memastikan anak mereka berjaya dalam acara itu.
“Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sudah meminta pertimbangan MSN (Majlis Sukan Negara) untuk lihat kalau boleh tambah dana kerana beliau sudah dapat tempat keempat dan mungkin dengan lebih banyak lagi sokongan, beliau boleh dapat podium,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Kejohanan Siri Golf Amatur Kebangsaan di Kelab Golf Saujana di sini, hari ini.
Selain itu, Hannah menyedari atlet dalam sukan berkenaan memerlukan dana yang mencukupi meskipun Aruwin ada menerima geran sebanyak RM50,000 daripada MSN tahun lalu.
“MSN sedang pertimbangkan permohonan berkenaan kerana bajet kita terhad. Bajet kita ditentukan setiap tahun oleh Kementerian Kewangan oleh sebab itu, kita kena pertimbangkan betul-betul dan buat perancangan.
“Seperti tahun lepas, bajet khas kita memang kita bagi keutamaan kepada EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja),” katanya.
Sebelum ini, Aruwin hampir menghadiahkan pingat gangsa buat Malaysia namun terpaksa akur apabila tewas tipis untuk berada di tempat keempat dalam acara slalom wanita, sekali gus membuktikan potensi besar Malaysia dalam sukan musim sejuk.
Namun, kekangan pembiayaan dan akses kepada kemudahan latihan menjadi cabaran utama bagi atlet sepertinya.
Terdahulu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berbangga dengan pencapaian atlet peluncur alpine ski wanita negara, Aruwin Salehuddin apabila berjaya menampilkan aksi yang cukup memberangsangkan pada Sukan Musim Sejuk Asia Kesembilan di Harbin, China yang berlangsung dari 7 hingga 14 Februari.