Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Usah cepat hukum skuad hoki dalam dewan

Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap orang ramai tidak menghukum skuad hoki dalam dewan negara yang gagal menyerlah di Kejohanan Piala Dunia Hoki Dalam Dewan Lelaki 2025 di Pusat Sukan Zatika, Porec, Croatia.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, prestasi sukan hoki harus dinilai secara keseluruhannya kerana ia turut membabitkan hoki padang, hoki lima sebelah dan juga hoki dalam dewan.

Ini kerana, jika melihat hasilnya pasukan hoki dalam dewan lelaki dan wanita pulang dengan pingat perak di Sukan Sea Kemboja 2023.

Justeru pencapaian sukan itu harus dilihat secara menyeluruh dan bukannya hoki dalam dewan semata-mata.

“Sekarang saya hanya mahu mereka kembali fokus dan saya mahu melihat hasilnya bukan saja untuk hoki dalam dewan, malah hoki yang lain seperti hoki lima sebelah dan pasukan hoki utama.

“Ini kerana KBS sentiasa memberi sokongan kepada hoki tidak hanya membabitkan hoki dalam dewan ini terutama dari segi kewangan,” katanya.

Terdahulu skuad hoki dalam dewan negara menamatkan cabaran di tempat ke-11 Piala dunia selepas menewaskan Trinidad & Tobago 6-4.

Ketua jurulatih pasukan, Rodzhanizam Mat Radzi mengucap jutaan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan kepada pasukan hoki dalam dewan kebangsaan.

Katanya, banyak pembelajaran dan pengalaman ditimba pasukan negara pada penampilan pertama di Piala Dunia kali ini.

Untuk rekod, ia adalah kemenangan pertama Malaysia selepas tewas dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan – Jerman (4-12), Argentina (2-5) dan Iran (0-3) untuk berada di tangga terbawah Kumpulan B.

Malaysia sekali lagi menjadi mangsa belasan Argentina pada perlawanan klasifikasi sembilan hingga 12 dengan kekalahan 2-6.