Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Farah Ann teruja miliki lesen juri

SELEPAS tiga tahun mengumumkan persaraan gimnas negara, Farah Ann Abdul Hadi kembali ke lantai tari apabila bakal menjadi juri gimnastik di peringkat dunia.

Bekas atlet berusia 31 tahun itu kini memiliki lesen penjurian daripada Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (GIF).

Farah Ann bersama Tan Ing Yueh berjaya menamatkan kursus dan menerima lesen juri antarabangsa di Doha, Qatar bermula 26 hingga 29 Januari lalu.

Pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu menyifatkan kursus tersebut sebagai peluang terbaik buatnya untuk menimba ilmu daripada pakar terkemuka dalam sukan gimnastik.

“Saya teruja untuk membantu dan berkongsi (ilmu) bersama atlet gimnastik di Malaysia,” ujar Farah Ann.

Sejak 25 tahun berkecimpung dalam sukan berkenaan Farah meraih pencapaian terbaik beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dalam pada itu, Ing Yueh pula mengakui kursus tersebut memberi pengalaman tidak ternilai tentang perspektif sebagai seorang juri.

“Ia dapat membantu memperbaiki teknik latihan dan meningkatkan persembahan atlet-atlet di bawah bimbingan saya,” katanya.