Kuala Lumpur: Atlet kebangsaan, Muhammad Sunik Muslimin mahu melakukan persiapan rapi sebagai persediaan menghadapi kejohanan besar sepanjang tempoh 2025.
Sunik berkata, dia bakal mengharungi beberapa kejohanan utama antara Olahraga Dunia yang bakal berlangsung di Berlin, Jerman dan Sukan Sea Bangkok sekali gus menuntutnya meningkatkan prestasi ke tahap optimum.
Katanya, prestasinya ketika ini berada pada tahap terbaik hasil daripada bantuan jurulatih dan fasiliti yang disediakan Majlis Sukan Negara (MSN).
“Saya masih lagi berusaha untuk melayakkan diri bagi menyertai kejohanan terbabit kerana masih lagi berada dalam senarai kategori B.
“Walaupun ada tekanan untuk membuktikan kemampuan diri namun ini semua adalah pengalaman untuk menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa.
“Ketika ini, saya giat menjalani latihan seperti biasa dengan dipantau oleh jurulatih supaya mampu mendapatkan prestasi terbaik,” katanya.
Sunik yang sudah menjangkau usia 25 tahun antara atlet berpotensi untuk memperoleh pingat dalam acara lompat jauh di temasya Sukan Sea Thailand.
Berdasarkan kepada rekod peribadi, Sunik mencatatkan 7.26 meter (m) dalam acara lompat jauh manakala lompat kijang pula 15.17m.