KUALA LUMPUR: Selepas bergelar ratu pecut remaja Asia Tenggara, Nur Izzati Eliana Suhaidi kini mengalihkan fokusnya bagi memburu pingat di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.
-ADVERTISEMENT-
Ads by
Pelari berusia 16 tahun dari Perak itu, berkata dia optimis mampu melakukan catatan yang lebih pantas pada musim depan sekali gus mencerahkan peluang bagi memenangi pingat di temasya dwitahunan itu.
“Saya bersyukur dengan kejayaan yang diraih tahun ini. Saya mahu berlari lebih pantas lagi tahun depan.
“Sasaran utama saya selepas ini adalah SUKMA dan jika boleh saya mahu lakukan masa 12s nanti pada penampilan pertama saya di temasya itu,” katanya.
Nur Izzati mencipta sensasi apabila memenangi pingat emas acara 100 meter (m) perempuan di Kejohanan Olahraga Remaja Asia Tenggara di Bangkok, Thailan yang berakhir, kelmarin.
Dia mengatasi pencabar dari Vietnam, Ngo Thi My Duyen yang meraih perak dengan catatan 12.42s manakala gangsa menjadi milik atlet Thailand, Jongjit Wilasinee 12.54s.
Sebelum ini, Nur Izzati turut dinobatkan sebagai ratu pecut Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) yang berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan bulan lalu.
Pada kejohanan itu, dia mencatatkan masa 12.28s.
Dalam pada itu, Nur Izzati turut memasang impian untuk memenangi pingat di temasya Sukan SEA suatu hari nanti.
Bagaimanapun, dia sedar perjalanannya masih jauh dan perlu terus bekerja keras bagi merealisasikan impian berkenaan. -Berita Harian