Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Eain Yow juara Piala Skuasy Malaysia 2024

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow menampilkan salah satu permainan terbaiknya untuk merangkul gelaran juara Piala Skuasy Malaysia 2024, hari ini.

Pemain ranking 14 dunia itu meraih kejayaan berkenaan selepas menewaskan pilihan utama dari Mesir, Youssef Soliman dengan keputusan 11-7, 11-7, 11-7 dalam tempoh 50 minit.

Kejayaan Eain Yow mengalahkan pemain di ranking 11 dunia itu bukan saja berjaya membalas dendam kekalahannya kepada Soliman pada edisi 2022 dan 2023, tetapi turut mengubati duka peminat tempatan selepas pemain wanita skuasy utama negara, S Sivasangari tumbang di pentas final pada aksi lebih awal.

Selain mengambah gelaran miliknya tahun ini selepas turut menjuarai Terbuka Jerman pada April, kemenangan menyaksikan Eain Yow membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah AS$9,025 (RM40,344) manakala Soliman meraih AS$5,700 (RM25,480).

“Permainan saya benar-benar baik hari ini. Sekalipun semalam saya berkata saya yakin, saya tidak menjangka untuk menampilkan prestasi sebaik ini dan ini mungking salah satu permainan terbaik saya, lebih baik daripada final Piala Asia 2022” kata Eain Yow.

“Kebiasaannya saya bermain dengan penuh emosi, saya akan menjerit tetapi hari ini saya amat fokus dan hanya melakukan sambutan sehingga perlawanan berakhir.

“Saya tahu apa yang saya perlu melakukan ketika bertemu pemain-pemain terbaik dunia kerana mereka tidak pernah menyerah kalah. Saya gembira untuk kekal fokus dan memenangi perlawanan dengan straight set.”

Terdahulu, Malaysia terlepas kejuaraan berganda selepas Sivasangari tewas kepada sensasi Mesir yang baru berusia 17 tahun, Amina Orfi dalam permainan lima set, hari ini.

Sivasangari yang juga pemain kesembilan dunia terpaksa akur dengan kehebatan Amina yang mengisi ranking 10 dunia dengan kekalahan 8-11, 11-9, 12-10, 8-11, 11-6 pada perlawanan yang berlangsung selama 88 minit.-Berita Harian