Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
Wei Ming mahu tamatkan penantian 13 tahun

KUALA LUMPUR: Penantian panjang Malaysia merangkul gelaran juara dalam kategori perseorangan lelaki di Kejohanan Badminton Remaja Dunia mahu ditamatkan Sng Wei Ming.

Menggalas tugas dalam kategori individu dan berpasukan, pemain berusia 18 tahun itu berharap penampilan sulungnya itu mampu membuahkan hasil.

Malah sasaran tinggi itu bukan saja diletakkan dalam kategori individu, namun berpasukan dalam kejohanan yang bermula dari 30 September hingga 13 Oktober itu di Nanchang, China.

“Dari sudut persiapan, pasukan mendapat tempoh hampir dua bulan untuk melakukan persiapan jadi bagi saya ia mencukupi,” kata Wei Ming yang mengidolakan legenda, Datuk Lee Chong Wei.

Mengulas mengenai format permainan yang menggunakan sistem 11 mata dalam kategori berpasukan campuran, pemain kelahiran Pulau Pinang itu mengakui ia mampu memberi manfaat kepada skuad negara.

“Untuk bermain dalam format seperti ini, apa yang penting adalah pemain perlu bersedia dan memanaskan badan dahulu sebelum memasuki gelanggang.

“Selain itu, pemain juga tidak boleh bermain dengan santai dan bermain dengan secepat yang mungkin kerana tempoh permainan yang pendek,” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir Malaysia mempunyai juara dalam kategori perseorangan lelaki adalah pada 2011 menerusi Zulfadli Zulkifli.

Apa yang menarik, Malaysia turut merangkul gelaran berpasukan campuran pada tahun sama selain gelaran beregu lelaki menerusi gandingan Nelson Heg-Teo Ee Yi.-Berita Harian