PARIS: Di sebalik kegigihannya menjalani latihan bagi menghadapi Sukan Paralimpik Paris 2024, perenang para negara Nur Syaiful Zulkafli memendam rindu kepada cahaya mata sulungnya yang baru berusia tiga bulan.
Nur Syaiful berkata dia hanya sempat meluangkan masa beberapa hari sahaja bersama anak lelakinya itu susulan komitmen latihan selama dua bulan di China sebelum menyertai Sukan Paralimpik di sini.
“Saya sempat beberapa hari dengan isteri (Fatin Husna Japar) sehinggalah saat kelahiran Nashwan di Sarawak, kemudian saya perlu ke China untuk berlatih di sana.
“Selepas tamat latihan di China, saya hanya dibenarkan balik dua hari sahaja untuk menjenguk keluarga termasuk anak saya sebelum berlepas ke Paris 2024,” katanya.
Terdahulu, Nur Syaiful menutup kempen Sukan Paralimpik Paris 2024 dengan meraih tempat ketujuh acara 50 meter gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) dengan masa 34.34 saat di Paris La Defense Arena awal pagi tadi.
Dia juga beraksi dalam dua final sebelum ini dengan menduduki tempat keenam acara 100m gaya bebas lelaki S5 selepas merekodkan 1 minit 16.60s dan juga kedudukan sama dalam 100m kuak dada lelaki SB4 menerusi catatan masa 1:46.71s.
Perenang dari Sarawak itu berkata dia sememangnya mahu berehat seketika sejurus pulang ke tanah air minggu depan serta turut merancang untuk mengadakan kenduri akikah.
Mengenai prestasinya di Paris 2024, atlet berusia 29 tahun itu mengakui sukar mencabar kelompok perenang terbaik dunia dalam kelasnya yang memiliki kelebihan menggunakan kaki bagi meningkatkan kepantasan dalam kolam renang.
Dia yang hanya bergantung kepada bahagian atas badan bermula dari perut untuk berenang mengakui bergelut beraksi dengan jaguh negara lain susulan kecacatan di bahagian kaki dan lumpuh separuh badan, akibat kemalangan ketika berusia 17 tahun.
Bagaimanapun, pemenang emas Sukan Para Asia Hangzhou 2022 itu tetap berpuas hati kerana berjaya mencapai sasaran layak ke final bagi ketiga-tiga acara itu.
“Persatuan ada letak sasaran kepada saya untuk berada dalam kelompok lima terbaik acara 50m gaya bebas lelaki S5 namun tidak berjaya melakukannya hari ini. Namun KPI (indeks prestasi utama) saya layak tiga final tercapai,” katanya. – BERNAMA