Majlis Sukan Negara Malaysia | Majlis Sukan Negara Malaysia
20 hotel dijadikan penginapan atlet Para SUKMA Sarawak 2024

KUCHING, 3 Sept: Sebanyak 20 buah hotel di sekitar bandar raya ini akan dijadikan sebagai tempat penginapan atlet Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 Sarawak, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak berkata, pihaknya yakin kemudahan itu akan memberikan keselesaan kepada seramai 1,290 atlet para SUKMA 2024 yang akan bertanding di sini.

Tambah beliau ketika ini beberapa persiapan akhir sedang dilaksanakan termasuklah menyediakan laluan berkerusi roda, kemudahan asas dalam lif penumpang, kafeteria dan kemudahan dalam bilik penginapan.

“Setakat ini persiapan perkampungan atlet sudah mencapai tahap 80 peratus. Urusan ini dipermudahkan kerana kita mengekalkan jawatankuasa penginapan bertugas pada SUKMA lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Hotel Raia yang menjadi salah satu penginapan untuk atlet Para SUKMA.

Secara keseluruhan, seramai 2,111 atlet dan pegawai yang mewakili 15 kontinjen dari seluruh negara akan menyertai Para SUKMA Sarawak 2024.

Temasya itu akan berlangsung bermula 23 hingga 28 September 2024 kelak. -TVS.