Fareez terlepas genggam gangsa

KUALA LUMPUR: Impian untuk menyaksikan seorang lagi pemain badminton negara berada di podium pada Sukan Paralimpik Paris tidak kesampaian apabila Muhammad Fareez Anuar tewas dalam aksi penentuan pingat gangsa kategori SU5 (kecacatan fizikal), sebentar tadi.

Pada aksi di Porte de La Chapelle Arena itu, Fareez yang membuat penampilan pertama di temasya berkenaan terpaksa akur tewas dalam pertarungan tiga set di tangan wakil Indonesia, Dheva Anrimusthi.

Fareez bermula baik untuk menyalakan harapan bagi membawa pulang gangsa apabila menang set pertama 21-17.

Bagaimanapun, Dheva kembali bangkit di set kedua yang berlangsung sengit sebelum pemain Indonesia itu menang 21-19 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Aksi set ketiga menyaksikan dominasi penuh daripada Dheva yang melangkah ke luar sebagai pemenang dengan kemenangan 21-12.

Terdahulu, jaguh badminton negara, Cheah Liek Hou berjaya menyumbang emas pertama Malaysia di Paralimpik Paris selepas mengatasi seorang lagi pemain Indonesia, Suryo Nugroho pada aksi final kategori sama.

Dalam perlawanan itu, Liek Hou tidak berdepan masalah untuk mempertahankan emas yang dimenanginya pada edisi Tokyo 2020, tiga tahun lalu menerusi kemenangan 21-13, 21-15.-Berita Harian