Kuala Lumpur: Legenda berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, belum bersedia membuat keputusan sama ada akan meneruskan karier hingga ke Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028, sambil menegaskan banyak faktor perlu dipertimbangkan.
Azizulhasni berkata, walaupun ramai pihak termasuk Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan agensi sukan tempatan mahu melihat dia beraksi di Olimpik keenam, pengorbanan peribadi menjadi keutamaan.
“Jika saya teruskan hingga LA 2028, banyak pengorbanan perlu dibuat. Saya kini bapa kepada empat anak dan sangat rapat dengan mereka.
“Isteri saya juga banyak berkorban. Walaupun dia memberi sokongan, masih banyak perkara perlu difikirkan,” katanya selepas meraih gangsa dalam acara pecut pusingan akhir Piala Dunia Trek 2026 semalam.
Menurut pelumba yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman itu, aspek kewangan turut menjadi pertimbangan utama kerana dia mahu bergerak sebagai pelumba profesional tanpa terlalu bergantung kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atau Majlis Sukan Negara (MSN).
“Saya perlukan penajaan kukuh jika mahu teruskan sebagai profesional. Selain itu, saya juga perlukan pasukan sains sukan untuk membantu terutama dari segi pemulihan kerana faktor usia,” katanya.
Pada usia 38 tahun, Azizulhasni masih membuktikan dia antara pelumba pecut terbaik dunia apabila meraih dua emas acara keirin dalam siri Piala Dunia Trek musim ini.
Dia menewaskan pencabar utama termasuk Matthew Richardson di Perth serta juara dunia dari Belanda, Harrie Lavreysen di Velodrom Nasional, Nilai.
Lavreysen sendiri dilihat mendominasi sukan itu sejak lima tahun lalu dan dalam landasan untuk muncul antara pelumba terbaik sepanjang zaman.
Azizulhasni sebelum ini merancang bersara selepas Olimpik Paris 2024, namun membuat keputusan meneruskan karier sebagai pelumba profesional dengan sasaran menutup tirai selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, Oktober ini.
